welcome to footprints
navigation Main Page Artists
Celik Sejarah
Related Podcasts
Syed Othman Syed Omar - Tugu
Added: 30 Sep 2009
Duration: 3:30 minutes

Tugu
Syed Othman Syed Omar - Celik...
Added: 19 Sep 2009
Duration: 3:15 minutes

Celik Sejarah: Harga Keamanan
grey

Celik Sejarah

Saya amat meminati sejarah.

Minat ini dipupuk sejak saya kecil lagi. Seingat saya, di antara buku-buku sejarah yang saya telah baca seawal Darjah Satu ialah Sejarah Pahang tulisan Haji Buyong Adil. Buku itu tebal, kulit bukunya berjalur hitam dan kuning. Saya 'khatam' Sejarah Pahang berkali-kali sehingga saya boleh menghafal rantaian peristiwa yang berlaku di dalam sejarah negeri Pahang. Sayang sekali buku itu kini tiada lagi di dalam simpanan saya.

Selain itu, saya juga pernah membaca buku Leftenan Nor, Pahlawan Gerila yang menceritakan pengalaman seorang ahli pasukan Force 136 menentang Jepun di negeri Perak ketika Perang Dunia Kedua.

Dan mendengar kisah di zaman perang yang diceritakan oleh arwah datuk saya yang juga bekas ahli pasukan Force 136 membuatkan saya benar-benar teruja dengan sejarah.

Dan mungkin kerana pembacaan dan pengalaman itu, secara semulajadi,  minat saya banyak tertumpu kepada sejarah perang dan ketenteraan.

Dalam hal ini, saya terhutang budi kepada dua insan yang banyak memupuk minat saya terhadap sejarah.

Orang yang pertama membuat saya melihat sejarah bukan sekadar menghafal tarikh-tarikh dan peristiwa ialah guru sejarah saya semasa di STAR, Ipoh, Cikgu Jalaluddin Othman ( guru HEM di STAR ketika itu).

Beliaulah yang menjadikan pelajaran Sejarah itu menarik bagi kami dengan kisah-kisah di 'belakang tabir' yang tidak tercatat di dalam buku teks seperti bagaimana Perak 'jatuh' ke tangan British disebabkan oleh kealpaan pemerintahnya.

Beliau penglipurlara sejarah yang hebat kerana beliau menjadi sejarah itu sesuatu misteri yang harus dibongkarkan dan bukan sekadar fakta yang perlu dihafal untuk lulus peperiksaan SPM semata-mata.

Dengan melontarkan persoalan-persoalan  sejarah yang merangsang minda kami terutama pada minit-minit terakhir sebelum kelas sejarah, ia membuatkan kami hilang rasa mengantuk dan kami sentiasa dahagakan jawapan-jawapannya yang hanya diberikan beliau pada kelas Sejarah yang seterusnya.

Menemui tokoh kedua yang memberi inspirasi kepada minat saya terhadap sejarah militer merupakan satu impian sudah lama tersimpan di dalam hati saya sejak berumur 18 tahun lagi.

Saya membaca buku pertama beliau ketika menghabiskan masa luang semasa menunggu keputusan SPM. Tahun 1994. Hampir 14 tahun yang lalu.

Buku PAHLAWAN terbitan DBP itu saya baca berkali-kali sejak daripada itu. Buku itu menceritakan pengalaman sebenar pemegang pingat keberanian Seri Pahlawan (S.P) dan Panglima Gagah Berani (P.G.B) dalam Angkatan Tentera Malaysia  ketika menentang musuh Negara, pengganas komunis selepas Merdeka.

Membaca satu persatu kisah yang ditulis beliau mengenai setiap pahlawan yang menggadai nyawa demi keselamatan anak bangsa menyedarkan saya bahawa pengorbanan mereka ini tidak ternilai harganya. Dan mereka menyerahkan segala jiwa dan raga tanpa banyak soal.  

Dan saya tidak dapat menyembunyi kegembiraan saya apabila dapat bertemu beliau untuk kali pertama semasa bulan Ramadan yang lalu. Hampir 15 tahun saya menjejaki beliau dan apabila dapat bertemu dengan beliau, ia seolah-olah dapat bertemu seorang sahabat lama.

Cerita-cerita mengenai pahlawan-pahlawan yang semakin dilupakan itulah yang mengikat tali ‘persahabatan’ itu.

Dan kami akur bersama bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengangkat jasa bakti kepahlawanan mereka itu agar ia dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda bahawa kerana dek pengorbanan mereka itulah kita dapat hidup aman damai sehingga kini.

Namun pengajaran yang paling penting ialah keamanan yang dikecapi hari ini bukan mutlak dan ia harus dipertahankan setiap saat. Kerana itu, kita tidak seharusnya leka dan alpa.

Terima kasih Leftenan Kolonel (B) Syed Othman Syed Omar kerana melihat jauh ke hadapan dan memberi inspirasi kepada kami untuk meneruskan usaha beliau memartabatkan jasa bakti pahlawan silam kepada generasi akan datang.

Teks oleh Iskandar Syah Ismail

people on footprints iTunes Podcast Available soon
www.youtube.com/watch?v=S0rxyyM7K_Y